Israk & Mikraj : Hikmah Pengembaraan Seorang Nabi
- Details
- Published on 16 June 2012
- Written by Technical
Alah Bisa Tegal Biasa
- Details
- Published on 16 June 2012
- Written by Technical
Manusia Yang Positif Adalah Manusia Yang Cemerlang
Setiap manusia akan menghadapi kesukaran dan cabaran hidup tertentu tanpa mengira latar belakang dirinya. Mustahil bagi seorang manusia untuk tidak menghadapi ujian dalam hidupnya walaupun sekali. Manusia akan mencapai tahap kematangan selepas melalui proses ujian dan dugaan. Sebahagian manusia menghadapi ujian yang menimpa dengan hati yang redha dan mengambil sikap positif.
Ada juga sebahagiannya yang tidak mampu untuk mengawal emosi dan stres lantas bersikap negatif terhadap segala dugaan yang menimpa dirinya. Pepatah Melayu ada menyebut “Alah Bisa, Tegal Biasa”. Positif dalam menghadapi dugaan adalah sikap orang yang cemerlang dan mampu untuk maju dalam segenap aspek kehidupannya.
Ciri-ciri, sikap dan sifat cemerlang orang yang positif dapat dilihat seperti berikut:
1. Orang yang bersikap positif apabila semakin tercabar, semakin kuat.
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh api yang marak, semakin kuat menghadapi cabaran hidup dan semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!
Imam Hassan al-Banna merupakan reformis sosial dan politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin. Beliau yang pada mulanya bergerak bersendirian dan menghadapi pelbagai kecaman bagi menyebarkan dakwah, akhirnya berhasil membentuk suatu pasukan dakwah yang cukup hebat serta berjaya menyusun manhaj dakwah yang diguna pakai di seluruh dunia. Cabaran hukuman penjara, cacian manusia, kekurangan wang dan sebagainya tidak dilihat sebagai penghalang keberjayaan dakwah beliau, tetapi dihadapi dengan bijaksana dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi memperbaiki uslub dakwah kepada masyarakat.
Akhirnya, berkat kesabaran dan sikap positif yang dipamerkan, beliau mampu melahirkan pelapis perjuangan beliau yang begitu hebat yang bertebaran di seluruh dunia umpama Syed Qutb, pengarang tafsir fi Zilalil Quran, Dr. Wahbah az-Zuhaily, pengarang kitab Tafsir Al-Munir, Dr. Yusuf al-Qaradhawi serta ramai lagi tokoh ilmuwan dan dakwah yang berjaya di tempat membawa manhaj dakwah yang disusun Imam Hassan al-Banna.
2. Orang yang positif melihat peluang dalam kegawatan
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!. Kisah hidup Onassis amat menarik perhatian saya. Aristotle Onassis, seorang jutawan Greek di Argentina, asalnya adalah seorang budak miskin. Beliau berpindah ke Argentina dari Greek untuk membina kehidupan baru. Umurnya pada waktu itu hanya 17 tahun. Selepas perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk.
Banyak syarikat telah jatuh muflis. Namun, Onassis telah melihat suatu peluang daripada perkara tersebut. Beliau sedar bahawa tentera Amerika sedang menghadapi masalah lebihan kapal perang, kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Lalu beliau telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika itu dengan harga yang murah. Setelah membuat sedikit ubah suai, kapal-kapal itu sudah boleh digunakan.
Beliau menggunakan kapal-kapal tersebut untuk mengangkut barang-barang dan minyak untuk diperdagangkan. Onassis telah dapat melihat peluang dalam kegawatan. Manakala, orang lain lebih melihat halangan dalam kegawatan.
3. Orang yang positif sentiasa berusaha bersungguh-sungguh
Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah bahawa “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Ia didorong bersama semangat tidak mudah putus asa dan bekerja keras!. Seperti kata pepatah Arab, “Barangsiapa yang berusaha dia pasti akan berjaya. Barangsiapa yang bercucuk tanam maka dia akan dapat menuai hasilnya.”
Fokus yang diletakkan adalah untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkannya untuk berjaya serta mencapainya dengan penuh keberanian dan kesungguhan. Semangat waja Paul Getty juga amat baik sekali untuk kita contohi. Menurut beliau, untuk mencapai suatu kejayaan yang dicita, kita perlu membuat dua perkara. Pertamanya ialah menetapkan suatu matlamat besar, manakala yang kedua ialah berusaha mencapainya dengan penuh keberanian.
4. Orang yang positif sentiasa mencari jalan memperbaiki diri
Kecemerlangan diri tidak ada batasannya sama sekali. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mencari jalan memperbaiki prestasi diri sendiri. Apa yang dilihat sebagai terbaik hari ini mungkin dinilai sederhana sahaja sepuluh tahun akan datang. Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata “Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh dia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuknya.”
Orang yang positif bertanggungjawab kepada diri sendiri serta tindakan-tindakan yang dilakukannya dengan cara berdikari. Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk memperbaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk memperbaiki kehidupannya.
Dengan sikap seperti ini, setiap orang boleh berjaya. Malah dengan bersikap demikian juga, dia mampu untuk membawa kejayaan kepada diri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan untuk mengecam, memaki hamun, dan marah itu dapat digunakan untuk perkara-perkara yang membina potensi diri.
5. Seseorang yang positif tidak menyalahkan keadaan
Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa kemalangan, musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan segala kekurangan itu untuk kebaikan dirinya serta kepada orang lain. Napoleon, yang hanya berbadan kecil dan rendah iaitu hanya setinggi kira-kira 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera di tempat beliau belajar.
Tambahan pula, Napoleon berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis. Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya bahawa dia lebih baik daripada mereka. Beliau telah mempelajari ilmu ketenteraan dengan begitu bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau menjadi seorang Maharaja Perancis yang berjaya menakluk tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya, serta ejekan daripada rakan-rakannya itulah yang mendorongnya menjadi seorang panglima tentera yang terkenal.
6. Orang yang positif mendengar dahulu pendapat orang lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar segala kecaman tadi dan memikirkan sama ada benarkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bilamana sesorang mengecam, pastinya di sana ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita mampu mendapat petunjuk untuk memperbaiki diri dan mutu kerja kita.
Pernah suatu ketika, Presiden Abraham Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanan beliau sendiri, Edward Stanton. Beliau telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Namun, adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak!, sebaliknya beliau telah bertanya kepada Stanton mengapa dia berkata sedemikian. Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu, lalu terus menarik balik rancangannya tadi.
Sebaliknya, Presiden Suharto (Indonesia) yang tidak mengindahkan kecaman manusia bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada masyarakat Indonesia, akhirnya terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan yang amat mengaibkan. Inilah juga yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin di negara kita sekarang ini. Mereka bukan sahaja perlu mendengar dengan telinga tetapi juga dengan mata, hati, dan fikiran terhadap setiap rintihan rakyat sama ada yang tersurat atau tersirat.
7. Orang yang positif sentiasa bangun apabila terjatuh.
Boleh dikatakan bahawa setiap orang yang mencapai kejayaan pernah jatuh bukan hanya sekali, malah berkali-kali. Namun, mereka ini dapat bangun semula daripada jatuh. Mereka tidak mengalah. Setiap kali jatuh, setiap kali itu juga mereka bangun semula dan terus gigih bertatih untuk lebih mantap berjalan. Biarpun banyak kali terjatuh, banyak kali juga kita perlu bangun.
Kunci kejayaan mereka ialah bukan sedalam mana mereka jatuh, tapi sekuat mana kemampuan mereka bertahan dan berdiri semula pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Allah SWT sudah menyatakan dalam al-Quran betapa nasib seseorang itu tidak akan berubah melainkan dia sendiri berusaha mengubahnya. Maka, perhatikan dan ambillah iktibar daripada kalam Tuhan yang mulia ini.
Impak Ikhlas Pasti Dibalas
- Details
- Published on 11 June 2012
- Written by Technical
"Don't judge a book by its cover" ungkapan untuk memberi maksud kepada jangan mudah memberikan satu kesimpulan hanya pada luaran sahaja.
Mentaliti seumpama ini semakin menular dalam pemikiran masyarakat, namun menurut kaca mata Islam sendiri ada perkara yang lebih penting untuk mendatangkan impak daripada sudut luaran.
Realiti kini, aspek ini semakin tidak menjadi keutamaan bahkan ada yang tidak menjadi ianya satu kepentingan dalam setiap perkara dalam melakukannya. Keikhlasan dalam setiap gerak kerja dan tindakan kita sebenarnya mampu melahirkan impak yang maksima kepada suasana sekeliling kita.
Oleh yang demikian, kita sendiri boleh melihat tahap keikhlasan kita dalam diri adakah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT ataupun sebaliknya. Secara tidak langsung ianya berkaitan dengan niat kita melalui lintasan hati kerana nilai keikhlasan merupakan perkara abstrak dan hanya Allah SWT sahaja mengetahui segalanya.
Beberapa pendapat berkaitan dengan niat, antaranya :
- Niat berkait rapat dengan maksud yang tertentu sekaligus diaplikasikan melalui tindakan seseorang.
- Niat adalah keinginan sesuatu yang disertakan dengan tindakan ataupun lebih dikenali dengan istilah "Azam".
- Niat akan membangkitkan hati dan seiring dalam setiap tindakan samada mengundang kebaikan dan keburukan.
Justeru, niat yang ikhlas bakal diekspresikan melalui tindakan kita sendiri sekaligus dapat memberikan gambaran mereka sekeliling. Realiti kini kita dapat melihat, kebejatan pemikiran masyarakat dunia dibantu pula dengan kecanggihan teknologi moden sudah pasti segalanya menjadi persoalan apakah tindakan mereka benar-benar ikhlas atau mempunyai agenda tersendiri.
Tidak salah menggunakan segala kemudahan yang ada cuma harus dilihat kembali dasarnya samada dilakukan untuk kepentingan sendiri ataupun semata-mata kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berkualiti perlu dibentuk dengan sebaik mungkin agar tidak dicemari dengan unsur-unsur lain. Implikasinya, kecintaan kepada Allah SWT semakin pudar dan pengakhirannya mengharapkan kepada makhluk lain daripada Maha Pencipta seluruh alam.
Elemen penting dalam memastikan nilai keikhlasan kita tidak menyimpang daripada landasan sebenar adalah seperti:
1- Memikirkan nilaian Allah SWT berbanding nilaian manusia. Seperti kata Fudhail bin I'yadh : "Melakukan sesuatu kerana manusia syirik manakala meninggalkan sesuatu kerana manusia adalah riak'.
2- Tiada perbezaan dalam setiap tindakan samada dalam keadaan terbuka atau tersembunyi, biarpun khalayak ramai ataupun individu."Barangsiapa berhias kerana manusia tiada nilaian di sisi Allah SWT".
3- Sentiasa menerima segala pujian dan kritikan dengan terbuka dan tidak hanya mengharapkan pujian setiap masa.
Dengan penjagaan rapi untuk memastikan keikhlasan kita sepenuhnya kepada Allah SWT sudah pasti daripada luaran akan menzahirkan impaknya. Apabila kita menghayati sejarah perjuangan pahlawan Islam terdahulu, akidah perjuangan yang didokong dengan keikhlasan dan keyakinan pada Allah SWT telah memberikan kemuliaan mereka di dunia lagi.
Biarpun kehilangan harta, keluarga dan seumpamanya namun keihklasan mereka membenarkan setiap janji Allah SWT kepada amalan yang mereka lakukan. Atas dasar ini, kita perlu melihat setiap amalan yang dilakukan samada benar-benar ikhlas atau menyimpang daripada landasan sebenar. Sekiranya kita benar-benar ikhlas, bantuan Allah SWT sentiasa mengiringi gerak langkah kita dan pengakhirannya mendapat keredhaan Allah SWT.
Kesan daripada amalan yang ikhlas maka hasil diperolehi juga mampu membentuk diri kita sebagai seorang muslim sejati. Antaranya :
- Ketenangan hati dan kebahagiaan jiwa.
- Suntikan kekuatan ruhhiyyah dan meninggikan keyakinan pada Allah SWT.
- Komited dalam setiap gerak kerja dan amalan.
- Menjadikan satu kebiasaan kepada ibadat seperti solat yang dianggap satu kebiasaan bukannya ibadat.
- Mampu menilai tahap keutamaan dalam satu amalan samaada perlu dilakukan atau perlu diutamakan.
- Bantuan Allah SWT sahaja tempat memohon segalanya.
Natijah ini akan mendatangkan sesuatu yang lebih bermakna bukan hanya kebaikan di dunia sahaja bahkan di akhirat. Oleh demikian, sayugianya kita perlu merenung diri kita kembali agar segala yang dilakukan tidak terperangkap dalam bisikan syaitan dan akhirnya terpenjara dalam kancah kehinaan. Sudah pasti nilaian pada luaran juga akan terserlah andai berpaksikan keikhlasan kepada tuhan pencipta sekalian alam.
Manusia sentiasa diberikan pilihan oleh Allah SWT untuk mencari keredhaanNya, segalanya bergantung kepada kita dalam memilihnya demi kebaikan Islam dan ikhlas dalam perjuangan menjunjung agama.
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
Zulhafeez bin Ahmad Zahidi
Timbalan Presiden
[Lajnah Perancang & Panitia]
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012


