• Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default color
  • green color
  • red color
Utama

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 1429 H

PRESIDEN PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR,
USTAZ KHAIRUL ANUAR BIN ISMAIL

Rakaman Perutusan



بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbrkth,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar ,Allahu Akbar.

Segala puji dan syukur kepada Allah, tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta ghoflah.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.

Begitu juga kita ucapkan kepada keluarga baginda al-itrul Mutohharah dan kepada para sahabat baginda keseluruhannya serta mereka yang mengikuti susur jalur perjuangan baginda yang penuh bersejarah tanpa penat dan lelah sehingga tibanya al-Qiyamah.

Sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah rakan seperjuangan sekalian,

Selamat menyambut Aidulfitri. Hari kemenangan bagi ahli-ahli ibadah yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu buas untuk menjadi muthmainnah dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa.

Dalam detik masa yang penuh berharga dan barakah ini marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan yang penuh mulia yang telah kita lalui bersama-sama dengan satu billion umat Islam yang lain.

Maka bersyukurlah ! Sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam ditengah malam buta menjadi kenangan manis bulan ramadhan yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua dan sayugia jangan dilupakan pada hari-hari yang mendatang.

Berishtighfarlah! Jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, kata-kata yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dariMu ya Allah.

Rakan-rakan seakidah sekalian,

Perjuangan menuntut ilmu di Ardil Kinanah ini penuh dengan duka lara. Sentiasa teringatkan suasana permai desa dan senyum tawa ibunda dan ayahanda. Manis riang juga timbul sekali sekala ketika bersama-sama sahabat tercinta yang menjadi anggota keluarga di mana-mana jua. Sudah menjadi lumrah dunia mahasiswa. Al-Imam al-Syafei berkata ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita.

Maka bersabarlah. Di hari raya ini usahlah banyak kita melayan perasaan sedih teringatkan ayah bonda dan sanak saudara. Banyakkan bertakbir dan hayatilah roh hari raya yang diajarkan oleh agama kita.

Keperitan dan mehnah kadang-kadang diperlukan oleh manusia untuk menjadi matang juga mengenal kehidupan. Islam dalam sejarahnya yang agung juga tidak terlepas dari dikunjung ujian dan dugaan. Walaupun Islam dapat merealisasikan banyak kemenangan dalam menetang kekufuran, merevolusi kekuatan Rom dan Parsi kepada nur ilahi, sampai ke tanah besar Cina di timur dan Andalus di barat, namun begitu Allah s.w.t kadang kala menguji umat Islam dengan kekalahan. Para sahabat pernah diuji dalam peperangan Uhud. Khilafah Islamiyyah Abbasiah di Baghdad juga telah telah dihancurkan oleh Tatar.

Kalah sekali bukan bermakna kalah selama-lamanya. Para sahabat bangkit kembali menyusun langkah dan strategi dengan petujuk Nabawi dan akhirnya kemenangan demi kemenangan dicapai dalam peperangan berikutnya. Baghdad akhirnya dicengkam semula hanya selepas dua tahun sahaja dalam penguasaan tatar. Tentera mereka kalah dalam peperangan Ain Jalut. Banyak lagi peristiwa kemenangan Islam yang muncul selepas kekalahan yang mana ruang masa yang ada ini bukanlah tempat untuk menceritakannya.

Sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah rakan seperjuangan sekalian,

Itulah yang sebenarnya patut menjadi sumber kekuatan kita. Jesteru, janganlah lemah menghadapi ujian hidup sebagai penuntut ilmu. Nun di sana ramai lagi yang lebih berat ujian dan dugaan daripada kita. Saudara-saudara kita di Palestin contoh terdekat kepada kita yang berada di sini. Cukuplah ia sebagai 'Ibrah.

Maka, jadikanlah tarbiyah Ramadhan sebagai pemangkin untuk kita mendapat kekuatan dan semangat seperti salafuna assoleh dalam kehidupan. Raikanlah hari raya ini seperti mana meraikan kemenangan dalam peperangan menetang kekufuran yang baharu saja selesai. Lebih-lebih lagi kekufuran dan juga unsur-unsurnya yang ingin bersarang dalam hati sanubari kita iaitu tempat pandangan Allah s.w.t.

Masyarakat kita hari ini pula sentiasa dahagakan petunjuk yang benar. Ramai yang terkeliru dalam memilih iman dan kekufuran. Masih ramai yang terjebak dengan idealogi dan isme-isme yang mana tanpa disedari boleh menggelincirkan akidah. Maka tugas kitalah wahai sahabat-sahabatku sekalian untuk memberi petunjuk kepada mereka dengan didasari ilmu yang benar-benar mempunyai roh iman.

Jika melihat dalam konteks dakwah, tarbiyah Ramadhan berperanan mendidik kita untuk menjadi seorang yang tabah dalam menjalankan tugas-tugas penyampai risalah Nubuwwah, menjadi seorang daie yang dapat mengikat kehidupan jasadiyyah dengan ruhiyyah, kehidupan dunia dengan akhirat, maddiyyah dengan maknawiyyah.

Sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah seakidah sekalian,

Cukuplah sekadar itu sebagai renungan kepada kita yang bukannya untuk temenung tapi untuk diamalkan. Marilah kita doakan semoga Ramadan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari Akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Fikr Wal Amal.

Salam Aidulfitri,

Salam Perjuangan,

Wallahu A'lam ,

Assalamualaikum w.b.r.k.t.h.