• Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default color
  • green color
  • red color
Utama Pelbagai Penulis
Penulis PDF Print E-mail

cerpen.jpgOleh: Nurul Lailati Mahat.

SUDAH hampir sebulan aku berada di Malaysia. Namun sehingga ke hari ini, tiada satu pun cerpen atau puisi yang dapat aku hasilkan. Ketika kebanyakan penulis baharu berdepan dengan masalah kekeringan idea, situasiku sebaliknya - malah sebetulnya ia sudah jadi bercampur-baur, tidak ubah seperti mi rojak kegemaranku yang sudah lama tidak aku rasai keenakannya. Bukan aku tidak ingat janji kepada salah seorang Sidang Editor buletin WARTA untuk menghantar karya, akan tetapi jalan cerita dan watak-watak di dalam cerpen yang bakal aku garapkan itu selalu sahaja berubah-ubah. Lantas saat ini kerja menulis menjadi semakin perit, semakin sulit.

Walau bagaimanapun, hari ini aku telah membuat keputusan – tidak kira apa yang akan terjadi, aku mesti mula menulis hari ini. Kerana aku ini penulis, menulislah tugasku. Aku segera melangkah ke bilik. Bilik peribadiku ini sebenarnya agak luas juga, cukup untuk menempatkan sebuah katil, dua buah mesin jahit saiz industri, juga sebuah almari pakaian. Apa pun harta paling berharga buatku adalah sebuah rak buku yang sebahagian besarnya memuatkan bahan-bahan bacaan dari tiga kuasa yang selalu berjaya menakluk wilayah hatiku iaitu agama, psikologi dan sastera. Ketika itulah aku terpandangkan sebuah buku berwarna oren yang kulit luarnya nampak biasa-biasa sahaja, tiada apa yang istimewa. Sekali imbas tidak jauh bezanya dengan kerja kursus yang pernah kusiapkan semasa aku belajar di Tingkatan Tiga tapi sebaik sahaja memegangnya, aku teringat kata penceramah yang kutemui minggu lalu di Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) GKLN-DBP. “Tulislah apa sahaja, yang penting ada ideologi.”

“Ideologi yang bagaimana tu puan?” Aku tidak sabar bertanya.

“Ada sesuatu yang hendak kamu sampaikan kepada pembaca. Cerpen yang kamu buat tentang saka tu tak lebih dari sekadar cerita. Sama macam Susuk dan cerita-cerita hantu lain yang saya tengok di kaca televisyen.”

Aku terdiam. Sememangnya cerpen ketigaku yang telah dibedah di Kem Latihan Penulis (KELAP) tahun lepas itu mengundang banyak kritikan pedas dari para moderator. Setelah beberapa kali penambahbaikan, aku cuba menghantar penyertaan dengan melampirkan cerpen tersebut via emel untuk dibengkelkan di Malaysia pula. Nyata hasilnya tetap sama: negatif.

‘Jangan diam,’ kata Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Dr Usman Awang, ‘seseorang hanya layak digelar penulis bila sudah berani menyatakan sikap’ – agaknya, agaknyalah, kata-kata itu yang kupegang ketika memilih berjuang dengan pena demi kelangsungan dakwah Islami. Kini, setelah hampir dua tahun bergulut dengan mandala sastera, aku mula sedar bahawa seseorang penulis itu sewajarnya memiliki keberanian dalam dua perkara signifikan; mempertahankan kebenaran dan menghadapi kritikan yang dilontarkan terhadap karyanya.

Sejujurnya, bagiku dua tahun itu belum boleh dianggap sebagai suatu tempoh yang lama. Aku masih belum mengerti bahasa sepak terajang dunia sastera. Caci-maki dan dengki-mendengki itu seperti ada di mana-mana. Tidak ramai penulis yang sedia menerima kritikan secara terbuka, lebih-lebih lagi sekarang ini seperti sudah menjadi suatu trend, setiap penulis memiliki laman blog sendiri. Ini adalah satu contoh kesudahan babakan yang klise: jika hari ini aku mengkritik karya seorang penulis yang sudah ternama, suatu ketika yang lain apabila berpeluang, pasti dia akan menghentam karyaku kembali. (Adakah beliau menggunapakai hukum qisas di dalam ‘kes jenayah’ ini?)

“Kamu tahu apa kelemahan kamu?” Begitu puan penceramah bertanya.

“Saya tak boleh dikritik.” Akuiku jujur, sedang bebuli darah naik ke muka. Bukannya marah tetapi malu. Mujurlah reaksi spontan itu tersembunyi di sebalik sehelai penutup muka.

Dia tersenyum. “Anggaplah itu semua cabaran untuk kamu tekal berkarya demi agama.”

Aku mengangguk sebelum membuang pandang ke sekeliling. Fahd Razy yang duduk di barisan paling belakang pun sudah meninggalkan tempat duduknya, menyertai para peserta lain yang sudah dilanda kantuk. Ini bukan kali pertama aku menyertai bengkel penulisan tapi entah mengapa malam ini tiba-tiba aku menjadi tidak rasional. Lebih tepatnya, tidak profesional dalam menerima kritikan. Natijahnya, penceramah itu mengarahkan mereka yang sudah mengantuk agar pulang terlebih dahulu ke kamar hotel, meninggalkan aku dan sesiapa sahaja yang mahu turut serta dalam sesi ‘perdebatan’ ini hingga selesai. Sekarang ini selain aku dan puan penceramah, hanya tinggal Ainaa Mardhiah, graduan syariah dari Morocco itu dan Adibah, bakal doktor yang mengaji di Manchester masih setia menunggu sejak tadi. Aku sedar kedua-dua mereka memang punya cinta mendalam terhadap sastera, namun dalam hatiku tetap terdetik rasa bersalah yang tidak sedikit.

“Umur kamu sekarang berapa, Nurul?” Dia itu menyoal ketika kami berempat berada di dalam lif sebaik sahaja meninggalkan bilik persidangan.
“Dua puluh tiga.” Pantas aku membalas sebelum mengerling i-phone di poket sisi.

Ha! Jam satu suku pagi?
‘Kawan-kawan, maafkanku. Kamu semua terpaksa tidur lewat malam ini gara-gara kedegilanku!’

“Kalau panjang umur, kamu masih ada tujuh tahun lagi untuk berjaya dalam sastera. ” Dia menyambung. Aku merenung kosong.
Khayalanku terhenti bila tiba-tiba i-phone berbunyi. Ada pesanan untukku dari Yahoo Messenger. Datangnya dari seorang pembaca komik al-Fityan di Mesir.

“Mengapa buat cerita tentang Ultraman?”

Aku tergelak. Kalaulah penceramah di bengkel DBP itu tahu yang anak didiknya ini pernah membikin sebuah cerpen fiksyen lucu, habislah aku!
“Kerana saya diberitahu pada awalnya komik itu berkonsepkan santai. Oleh kerana saya meminati semua kisah superhero yang memiliki kuasa supernatural, saya cuba menulis semula kisah itu sebagai sebuah cerpen eksperimen dengan meletakkan subjek Ultraman itu sebagai watak utama, konon-kononnya dia itu sebenarnya jin Islam yang membawa misi dakwah islami kepada manusia dengan cara membunuh raksaksa yang sebenarnya adalah dari kalangan jin juga, tetapi kafir.” Aku mempertahan.

“Tapi kan lebih baik kalau anda tulis cerita dakwah saja, jadi mudah sampai mesejnya...Err...Tambahan pula, kami di al-Azhar bukanlah kanak-kanak yang sewajarnya anda suakan dengan kisah tak berpijak di bumi nyata seperti tu.”

Aku terpana. Selepas itu dia masih becok bertanya tapi semua persoalannya kubiar tanpa jawapan. Padaku, sewajarnya aku melabel pertanyaan itu sebagai teguran.

Malam itu baris-baris katanya bercangkaliwang di siling bilik, merayap-rayap di lantai, merangkak di dinding. Tatkala memandang tasbih yang kugenggam, aku meningat-ngingat pula kata-kata penceramah bengkel DBP. Amat sukar untukku diresapi lena hinggakan memutar tasbih itu kurasakan seperti membilang usiaku yang bakal tiba; konon-konon butir-butir tasbih sudah bertukar menjadi buah sempoa. Ah, begini aku boleh jadi gila!

Sudahnya, aku tidak ingat bagaimana aku boleh terlena. Semuanya kuasa Allah. Aku hanya terjaga apabila azan subuh berkumandang. Tasbih masih di genggaman. Buku bersaiz kerja kursus itu sebenarnya adalah lapan belas buah cerpen para peserta bengkel DBP yang telah dibukukan. Selepas solat, aku membelek halaman demi halaman. Kubaca setiap komentar yang dicatat oleh penceramah itu pada cerpenku. Kukaji semula segala-galanya. Kuteliti satu-persatu cacat-cela pada karyaku.

Kalau aku mengaku diriku penulis, maka menulis adalah tugasku; tidak kira apa jua rintangan yang bakal menghalang sepanjang perjalananku. Aku semakin sedar bahawa kerja-kerja menulis perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas dan jiwa yang jujur, meski pada akhir zaman ini kejujuran menjadi salah satu dari sekian banyak nilai murni yang kian terhakis dari pantai rasa makhluk-Nya yang bergelar manusia. Aku kian faham bahawa setiap frasa dari tinta seorang penulis menghamili makna tertentu dalam sumbangannya kepada pembentukan jiwa pembaca. Jelasnya, bukan mudah memanusiakan manusia.
.....
Dan akhirnya pagi itu dengan kuasa-Nya juga, aku menyedari bahawa diriku ini sebenarnya bukanlah siapa-siapa, jauh sekali seorang penulis ternama.

____________________
Nurul Lailati Mahat merupakan mahasiswi tahun dua di Maahad Qiraat al-Azhar, Mansurah. Tulisan beliau dalam genre cerpen, puisi dan artikel pernah dimuatkan di majalah Suara Kampus Edisi Mansurah (SKEMA), Suara Kampus Edisi Johor (SUKEJ), Buletin Warta dan Komik al-Fityan, kedua-duanya terbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), manakala di Malaysia, karya beliau pernah menembusi majalah Remaja,Dewan Sastera(Tunas Cipta), Anis dan akhbar Mingguan Wasilah. Blog beliau boleh dilayari di: http://www.bukanlailaisabella.blogspot.com

 

Majalah Rasmi PMRAM

ads di web.png

KITA PMRAM

hewi 135x135.png

youtubepmram.png

1 fikrah 1 amal 1.jpg

fikrah dan syakhsiah.jpg

bencimaksiat.jpg

PMRAM