|
79 tahun adalah suatu tempoh yang agak panjang dalam mengharungi satu perjuangan. Pelbagai suka-duka yang menjadi inti ke arah penerusan visi dan misi yang agung ini. Hakikatnya, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah menabur 1001 jasa dan sumbangan kepada anak-anak Melayu di Perlembahan Nil ini sejak detik penubuhannya. Kejayaan dan kecemerlangannya tidak boleh finafikan lagi. Namun, kita melihat keutuhan dan kesatuan warga Azhari pada hari ini diganggu gugat oleh anasir-anasir dari dalam dan luar. Ikuti temuramah krew al Kasyaf IV, Ustaz Farhan Madzlan bersama tokoh yang berpengalaman luas secara langsung dengan PMRAM. Beliau adalah Ustaz Anhar Hj. Opir, mantan Pengerusi Lembaga Penasihat PMRAM 2001.
PMRAM acapkali dilibatkan dengan isu pendaftaran dengan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM). Bagaimanakah kebenaran berita itu? Mengenai isu pendaftaran, pihak PMRAM terlebih dahulu ingin mengenal pasti apakah yang dimaksudkan dengan perkataan daftar dan naung. Adakah ia mempunyai satu maksud yang sama atau berlainan? Sejak penubuhannya hinggalah sekarang ini PMRAM berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir, bermakna segala aktiviti dan program kita di Bumi Kinanah ini secara langsungdinaungi oleh kerajaan Mesir sendiri. Namun sekarang ada usaha dari pihak-pihak tertentu yang ingin supaya PMRAM bernaung di bawah kedutaan yang diwujudkan pada 1960.
Ada beberapa peristiwa yang berlaku, yang membawa kepada perbincangan untuk meletakkan PMRAM di bawah dua pendaftaran – Kementerian Kemasyarakatan Mesir dan Kedutaan Malaysia. Akan tetapi berlaku satu insiden ketika proses perbincangan tersebut yang dirancang oleh kedutaan sendiri iaitu mereka menghantar surat kepada Kementerian Kemasyarakatan Mesir untuk membubarkan PMRAM. Natijahnya, Kementerian Kemasyarakat Mesir mengarahkan PMRAM supaya menangguhkan hasrat ini, iaitu pendaftaran di bawah kedutaan Malaysia. Namun, kita tetap mengadakan perbincangan dari semasa ke samasa untuk menjayakan cita-cita tersebut demi kebaikan semua pihak.
Presiden PMRAM pada sesi-sesi lepas pernah bertanya kepada pihak kedutaan tentang perkara ini, lalu mereka memang tega menyatakan keinginan mereka untuk memansuhkan hubungan PMRAM dengan pihak Kemasyarakatan Mesir dan seterusnya menjadikan PMRAM di bawah urusan Kedutaan Malaysia. Yang penting, kami ingin menegaskan kata-kata Ustaz Ismail Halim (bekas YDP PMRAM) dalam IHSAS yang pernah dilangsungkan pada tahun 2001 bahawa. “Apabila pendaftaran ini (PMRAM ke bawah Kedutaan Malaysia) menjadi punca kerenggangan hubugan diplomatic Malaysia dan Mesir, maka ia adalah satu kerugian besar yang akhirnya bakal ditanggung oleh semua mahasiswa di sini akan kesusahan an akibatnya”.
Sekiranya PMRAM berdaftar di bawah kedutaan, adakah segala aktiviti PMRAM akan disekat? Dari sudut sekatan, kita tidak dapat mempastikan lagi. Namun kebiasaannya, apabila sesebuah pertubuhan berdaftar dengan mana-mana organisasi, maka ia tertakluk dengan beberapa peraturan yang telah mereka tetapkan.
Bagaimana pula dengan arahan mereka (Kedutaan) supaya BKAN berdaftar dengan JPM? Kita menyerahkan keputusan tersebut kepada setiap BKAN kerana penaung mereka adalah kerajaan negeri masing-masing. Buat masa ini, belum ada yang berminat untuk bertindak sedemikian. Perlu diingat, PMRAM juga adalah penanung kepada setiap BKAN. Oleh itu, kita tetap akan mengekalkan naungan demi menjamin keselamatan dan kebajikan mahasiswa di sini.
Apa pula kelebihan sekiranya pendaftaran PMRAM dikekalkan di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir? Sejak dahulu lagi Kita sentiasa mengadakan perjumpaan dengan pihak mereka melalui Badan Pengurus. Perlu difahami, walaupun mereka sebagai penaung, bukanlah tugas mereka mengadakan aktiviti itu dan ini. Sebenarnya melalui naungan mereka, kita diizinkan untuk mengadakan pelbagai aktiviti di seluruh Mesir (berdasarkan peraturan Universiti al Azhar) asalkan kita memaklumkan kepada mereka. Ini termasuklah rehlah dan perhimpunan mahasiswa kita di cawangan-cawangan. Pihak keselamatan Mesir pula akan sentiasa mengiringi kita sepanjang rehlah dilakukan. Untuk makluman ahli-ahli PMRAM, saya ingin sebutkan di sini bagaimana hubungan baik ini memberi faedah yang besarseperti tragedy yang menimpa dua orang sahabat kita di Pantai Balteim. Pihak kerajaan Mesir telah menghulurkan sejumlah wang yang agak banyak dengan sebab kita bernaung di bawah mereka.
Mengenai hubungan kita dengan wakil Pendaftar pula, Jabatan Setiausaha Agung akan menghantar laporan bertulis aktiviti persatuan sebulan sekali. Pada masa inilah kita berbincang dengan mereka dan mendengar nasihat serta komen daripada mereka. Kita haruslah bersyukur dengan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah ini demi meneruskan kelangsungan PMRAM di bumi Mesir ini.
Apabila kita berbicara tentang isu pendaftaran an naungan ini, ia berkait rapat dengan isu ARMA. Apakah pendirian PMRAM terhadap perkara ini? Selepas berlaku gempa bumi pada tahun 1994, semua penghuni ARMA diberikan notis untuk keluar termasuklan pihak PMRAM dengan alas an untuk dibaik pulih sementara. Namun, setelah proses membaik pulih tersebut selesai, ARMA mula diduduki semula pada tahun 1999. Kita tetap memohon hak PMRAM iaitu pejabat PMRAM dalam melaksanakan aktiviti kita di sana. Jabatan Setiausaha Agung PMRAM telah mengemukakan 5 surat permohonan sejak 1995 kepada pihak kedutaan dalam perkara ini. Namun, hanya satu surat sahaja yang dibalas itupun dengan memindahkan pejabat PMRAM ke tempat lain. Namun, kita tetap optimis dengan hasrat kita ini, khususnya bagi mengurangkan bayaran sewa pejabat PMRAM sekarang ini di Masakin Osman. Oleh itu, kita sangan berharap kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membenarkan kita beroperasi semula di ARMA, bukan untuk mentadbir tetapi hanya untuk mendapatkan pejabat sahaja.
Tersebarnya propaganda yang memburukkan PMRAM, dengan mengaitkannya dengan politik kepartian. Apakah tindakan PMRAM demi mengelakkan PMRAM terlibat sama? Dalam isu yang dimainkan oleh media dan inividu tertentu, kita tidak bertindak melalui media kerana ia merupakan perkara yang tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh. Kemungkinan isu ini sengaja dikaitkan sebagai salah satu usaha untuk memburukkan nama PMRAM atau mematikan suara-suara golongan agama yang mengetengahkan isu yang global meliputi kemanusiaan, ekonomi, politik dan sosial.
Kita juga pernah dikaitkan dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang pernah menjadi topik hangat di Malaysia. Di sini saya ingin menegaskan bahawa PMRAM yang berdaftar dengan Kerajaan Mesir tidak dibenarkan sama sekali terlibat secara langsung dengan persoalan politik sama ada berlaku di tanahair atau tempatan. Jelas menggambarkan propaganda yang dimainkan adalah tidak berasas dan berniat jahat terhadap PMRAM. Oleh itu, PMRAM tidak mudah melatah dalam perkara ini sebaliknya akan terus mengatakan yang hak itu hak dan yang batil itu batil walaupun dibenci oleh orang-orang lain.
Sesetengah pihak melihat PMRAM bersifat menentang dan melawan kerajaan serta mirip kepada gerakan pelajar kita di Pakistan, GAMIS di Malaysia. Apakah pandangan PMRAM dalam menjawab tuduhan berat ini? Pada pendapat saya, perkara ini berkait rapat dengan ilmu yang kita pelajari. Kewajipan kita adalah menyampaikan ilmu yang dipelajarai sama ada ia disukai atau tidak oleh pendengar. Sejarah telah mengajar kita bagaimana tokoh-tokoh agama Islam mendapat tentangan dalam perjuangan mereka. Walaupun begitu, kita tetap mengingatkan ahli kita bahawa PMRAM tidak boleh terlibat dalam talian politik kepartian. Kaitan-kaitan tertentu yang dibuat adalah tidak relevan kerana asasnya yang tidak kukuh memandangkan PMRAM ditubuhkan sejak berpuluh-puluh tahun tahun dahulu (sebelum UMNO dan PAS) dan ia adalah satu risiko yang sangat besar sekiranya PMRAM melakukan perkara-perkara tersebut. Bahkan Negara Mesir sendiri tidak mengiktiraf pihak-pihak tersebut. Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh ahli PMRAM supaya terus bersama-sama dengan ulama-ulama al Azhar yang amanah dengan ilmu mereka.
Apakah prinsip PMRAM terhadap kesatuan pelajar yang bercambah di Mesir, seperti Nadi UMNO, ABIM Mesir misalnya? Mengenai Nadi UMNO, kita tidak boleh menghalang kewujudan mereka di sini kerana mereka adalah cawangan dari tanahair Malaysia. Namun, kita mengharapkan kewujudan mereka tidak akan dikaitkan dengan PMRAM. Tetapi bagi saya, pandangan yang menyatakan Nadi UMNO di sini bersikap kebajikan adalah kurang tepat. Ini kerana, UMNO di Malaysia adalah pertubuhan politik. Maka setiap cawangan sudah semestinya mempunyai agenda yang sama dengan pusat. Tidak masuk akal sekiranya cawangan mempunyai tujuan dan matlamat yang berbeza dengan pusat.
Yang penting, saya ingin mengingatkan semua hali agar menjaga tata susila dan keselamatan mereka di Mesir ini kerana mereka memang tidak dibenarkan untuk memainkan sentiment politik. Juga saya ingin menegaskan di sini, marilah kita bersama-sama mendokongi PMRAM kerana PMRAM tidak membezakan aliran pemikiran dan kecenderungan seseorang dalam memberikan kebajikan kepada setiap ahli di sini.
Apakah harapan ustaz untuk ahli-ahli PMRAM demi meneruskan lagi kesinambungan perjuangan PMRAM di sini? Tiada nasihat yang paling berharga kecuali kita mesti sedar bahawa tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim ialah untuk menjaga agama. Inilah tuntutan kita di dalam pertubuhan ini. Kita ini adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan, sama ada ahli atau kepimpinan semuanya mempunyai peranan untuk menegak yang makruf dan mencegah sebarang bentuk kemungkaran. Semuanya ini adalah untuk menjaga agama Islam yang tercinta.
Dan juga kita mesti menjaga ukhuwwah dan kesatuan kita demi mengekalkan kekuatan umat Islam di sini khususnya dan di dunia amnya. Mudah-mudahan kita menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang demi mencari keredhaan Allah Taala.
petikan dari majalah al Kasyaf 2001 |