• Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • default color
  • green color
  • red color
Utama Pelbagai Menyanggah Fahaman Liberal SIS - Wawancara Bersama Ustaz Abdul Ghani [SHURA]
Menyanggah Fahaman Liberal SIS - Wawancara Bersama Ustaz Abdul Ghani [SHURA] PDF Print E-mail

Wawancara ini (pada pertengahan Jun 2009), bertujuan untuk mencari penjelasan tentang pertubuhan Islam Liberal, sekaligus menyorot perkembangan terbaru yang berlaku di Malaysia. Ikuti wawancara ini bersama Ustaz Abdul Ghani Samsuddin. Apakah pandangan ustaz mengenai liberalisasi Islam yang berlaku di Malaysia?
Mengenai ancaman kumpulan liberal Islam di Malaysia, dan baru-baru ini dengan program MUSAWAH anjuran SIS, aktiviti-aktiviti mereka seperti video yang sentiasa diulang-tayang. Persoalan-persoalan mereka juga adalah persoalan ulangan yang telah dijawab sekalian ulama’. Usaha golongan perosak ‘asolah’ Islam ini dapat dilihat dari segi ideal, penulisan, percakapan dan kelakuan seseorang atau sesebuah organisasi. Seperti SIS, mereka memang mendapat dokongan moral dari beberapa figure politik nasional dan diakui mereka begitu akrab dengan beberapa agensi di dunia Barat. Pemikiran Islam Liberal perlu ditolak disebabkan ia boleh merbahayakan akidah umat Islam. Walaupun idea Islam Liberal dilihat bersifat reformasi , tetapi ia adalah satu pembohongan terhadap Allah Taala kerana mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan. Idea Islam Liberal membohongi kebenaran selepas datangnya kebenaran. Inilah tugas-tugas yang menanti lkita untuk membetulkan persepsi yang songsang. Apatah lagi di zaman ICT, sains dan teknologi, pasca kolonialisme, umat Islam disuap dan disogok dengan pelbagai fahaman (isme) secara kasar. Pelbagai idea dicurahkan, sengaja mahu meliberalkan umat Islam dari Islam yang sudah mapan.

Dalam medan pertempuran menghadapi golongan ini, peranan ulama’ dan pendakwah sangat diperlukan untuk mempertahankan Islam. Negara Malaysia tidak seperti Mesir yang dilimpahi ribuan masyaheikh yang berkelayakan menjadi tempat rujukan dan fatwa. Kerana itu kita perlu mengambil peranan dalam bidang teknologi ICT dan penyebaran maklumat. Kita perlu mengetengahkan statement-statement ulama’ yang muktabar seperti Dr.Yusuf al Qardhawi sebagai contoh. Dengan usaha seperti itu, ancaman-ancaman liberal dapat diminimakan sekaligus memberikan pandangan tulus kepada masyarakat Malaysia.

Pada penilaian ustaz, apakah faktor yang menyebabkan perkembangan liberalisasi Islam boleh berlaku?
Ada banyak faktor kemunculan “Islam Liberal”. Antaranya yang utama ialah ekoran kepada faham sekularisme. Ada yang menyatakan ia ditaja oleh pihak-pihak luar dengan menghulurkan dana-dana di mana kebanyakan mereka berusaha membebaskan umat Islam daripada hukum-hukum Islam. Mereka juga beranggapan bahawa gerakan yang mereka lakukan adalah satu-satunya alternatif yang melakukan usaha penyatuan di antara agama dan akal fikiran. Sedangkan jika dilihat daripada sejarah pemikiran dan perundangan Islam, penyatuan agama dan akal bukan perkara yang baru, ia sememangnya telah ada dalam tradisi Islam.

Mereka melihat majoriti umat Islam mengikut aliran konservatif yang jumud dan tidak memberi ruang kepada akal fikiran untuk berperanan dan berijtihad. Lebih dari itu, golongan ulama’ dikatakan telah berusaha untuk memonopoli pemahaman Islam, sehingga apa sahaja pandangan yang tidak sesuai dengan kerangka berfikir mereka akan dicap sebagai tidak Islamik. Islam tidak pernah meletakkan ulama’ sebagai wakil Tuhan atau pemegang kuasa menggantikan Tuhan sepertimana berlaku dalam tradisi Nasrani dan pemerintahan gereja di zaman kegelapan (Dark Ages). Inilah kesilapan besar bagi aliran Islam liberal menyamakan Islam seperti keadaan kehidupan agama masyarakat Barat dalam abad ke 16 hingga 18 masihi yang lalu.

Dalam Islam ijtihad ulama’ tidak mutlak kebenarannya. Oleh itu pandangan ulama’ tidak semestinya benar. Pandangan ulama’ hanya boleh diterima sekiranya terbukti sesuai dengan kehendak syari’ah dan dipersetujui kebenarannya. Di sinilah dalam tradisi Islam kita mengenal konsep qawl al-jumhur (pandangan majoriti), dan ijma' (kesepakatan ilmuan) dan konsep ini sangat penting dalam tradisi keilmuan Islam. Mereka sebenarnya tidak faham kaedah Islam kerana terlalu banyak disuap dengan doktrin-doktrin modernisme Barat.

Sister In Islam contohnya, adalah antara pendukung feminisme, pendukung Islam liberal yang kuat memperomosikan isu kesetaraan kaum jenis lelaki dan perempuan. Aktiviti-aktiviti mereka sebelum ini membuktikan terdapatnya jarum yang sangat halus, iaitu usaha untuk menukarkan autoriti agama kepada golongan ‘egalitarian’, dan bukannya ulama’. Forum Iqra yang pernah dipimpin oleh Dr. Kassim Ahmad juga mengemparkan negara dengan isu antihadis melalui Jemaah al Quran dan SIS. Tidak dilupakan juga isu [IRC] yang pernah menghangatkan suasana pada sekitar tahun 2005. Kesemua ini merupakan cabaran-cabaran bagi graduan pengajian Islam, sekiranya kita tidak tangani secara berhemat ia akan menjadi ancaman kepada kerukunan dan keharmonian hidup beragama di kalangan masyarakat Islam Malaysia.

Apakah cadangan ustaz untuk menangani kemaraan Islam liberal?
Cadangan saya untuk menangani pemikiran liberalisasi ini, kita perlu mengadakan kelas-kelas pengajian secara tersusun dan mantap dengan manhaj atau metodologi feqh yang muktabar. Di samping itu keluarkan juga bahan-bahan penerbitan yang boleh menepis ancaman-ancaman liberalisme. PMRAM adalah pelopor suara anak asia di al Azhar sejak dahulu lagi. Manfaatkan kelebihan yang ada pada PMRAM untuk menjadi jentera kepada produk-produk al Azhar. Tidak menjadi masalah kiranya PMRAM boleh menggunakan segala maklumat yang ada dan kemahiran untuk menjawab tuduhan-tuduhan mereka terhadap Islam.

Kita sedari, ramai dikalangan tenaga muda lulusan al Azhar masih belum digerakkan sepenuhnya. Mereka boleh membantu pergerakan Ulama’ Muda, PUM atau SHURA sendiri apabila pulang dari Malaysia. Namun ‘tenaga’ mereka masih ada yang belum diletakkan di posisi yang sebenar. Saya yakin ramai yang boleh menjawab pelbagai isu berkait senstiviti Islam yang berlaku di Malaysia. Masalah yang berlaku cuma mereka tidak dapat dihubungi atau tidak tahu bagaimana untuk berhubung dengan mereka. Justeru, PMRAM harus mengambil langkah kehadapan dalam hal membentuk pelapis ulama’ yang sifatnya versatile dan boleh menangani masalah-masalah pemikiran. Tenaga muda adalah sumber yang perlu diekploitasi sebaik-baiknya demi masa depan negara dan Islam.

Cadangan Ustaz terhadap PMRAM amatlah baik, aspek pembinaan ulama’ itu memang ada dari sudut kelas-kelas pengajian yang dijalankan, program-program penghormatan terhadap ulama’, Islamic circle (IC) dan sebagainya. Bagaimanapun timbul masalah di sana jemaah-jemaah yang sengaja diwujudkan, secara tidak langsung menganggu proses ‘ini’. Apakah pandangan ustaz terhadap fenomena yang disebut sebagai ta’addud jamaah (berbilang jemaah)?
Kepelbagaian wadah gerakan atau persatuan Islam tidaklah mutlak buruk. Ia mungkin menambahkan lagi kerancakan dakwah. Namun pendekatan yang berbeza dan kurangnya penyelarasan mungkin membuka peluang kepada golongan tertentu untuk melaga-lagakan kita. Sebab itu gejala ini adalah cabaran kepada PMRAM. Dalam usaha untuk menggembangkan kerja-kerja dakwah, rintangan dan cabaran pasti berlaku. Ada yang bersifat dalaman dan ada pula yang bersifat luaran.

Kepelbagaian jamaah adalah untuk meningkatkan prestasi dakwah, bukan saling bermusuhan. Kerana itu usah selama-lamanya bertengkar mengenai masalah ta’addud, sebaliknya PMRAM perlu merumuskan suatu penyelarasan dan perkongsian bijak yang akhirnya menguntungkan Islam. Jemaah atau gerakan dalam pelbagai bentuk perlu bergabung atau selaras dalam menangani isu-isu besar seperti perlaksanaan undang-undang Islam, pembelaan terhadap Rasulullah salallahualaihi wasalam dan risalahnya, memandu ekonomi umat dan menerapkan nilai-nilai positif secara demokratik. Kata al Marhum Sheikh Muhammad Rashid Rida rahimahuLlah ; “Bertolonglah kamu dalam perkara yang disepakati dan bertoleransi dalam perkara yang kamu perselisihkan”.

Mungkin apabila masalah berbilang-bilang jemaah terlalu parah, amaran Dr. Fathi Yakan (al Marhum W.14 Jun 2009) ada benarnya. Dr. Fathi Yakan adalah ulama’gerakan yang cukup sengit dengan kehadiran jemaah terlalu banyak dan tidak menyatu kepada satu misi dan visi. Beliau seorang haraki, tentunya lebih faham apabila berlakunya situasi seperti ini, ia perlu dilihat dari sudut realiti dan keadaan. Selain niat yang murni, boleh jadi jemaah lain diwujudkan kerana sifat hasad dan sebagainya. Apa yang perlu dilakukan PMRAM selain memeta strategi menghadapi golongan-golongan ini ialah sentiasa bersabar. Yang lebih utama difikirkan PMRAM, ialah terus menyumbangkan apa-apa yang baik kepada pelajar dan masyarakat. Serahkan segalanya kepada Allah Taala Yang Maha Mengetahui, yang tidak akan luput dari pengetahuanNya baik di langit mahupun di bumi.

Selain dari liberalism, kapitalisme - antara contoh kegagalan produk isme Barat apabila ia mengalami nazak pada tahun ini. Jika dahulu kemelesetan ekonomi yang melanda Wall Street, kini krisis tersebut melanda pula kepada ‘main street’. Menurut pemerhatian Ustaz, apakah peranan yang seharusnya ditunjukkan untuk meyakinkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai jalan terbaik dalam menangani krisis ekonomi?
Ekonomi, tidak kira ia diasaskan dari sistem kapitalisme atau sosialisme, ia sebenarnya adalah produk sekular yang sudah pasti menemui ajalnya. Seperti kapitalisme, ia mengajar masyarakat dunia untuk mengejar kepentingan diri yang tidak terhad diterjemahkan melalui sistem pasaran terbuka. Kapitalisme juga mengajar masyarakat dunia untuk berfikir bahawa tiada lagi kehidupan selepas mati dan tiada akauntabiliti di hadapan Allah. Semuanya bergerak menurut kerakusan nafsu dan matlamat yang menghalalkan cara. Inilah peluang untuk kita menghalakan masyarakat dunia untuk mencari alternatif sistem ekonomi yang baru.

Tidak lain tidak bukan, Islam adalah jalan penyelesaiannya yang paling ampuh. Malangnya negara-negara dunia Islam gagal mengambil peluang terbaik ini. Ekonomi Islam yang hebat ini hanya diyakini dan diakui oleh mereka yang terlibat dalam gerakan Islam. Malang juga apabila gerakan Islam yang ada pada hari ini masih belum mampu menguasai kepimpinan utama di negara-negara umat Islam.

http://satukalimah.blogspot.com/

 

Majalah Rasmi PMRAM

ads di web.png

KITA PMRAM

hewi 135x135.png

youtubepmram.png

1 fikrah 1 amal 1.jpg

fikrah dan syakhsiah.jpg

bencimaksiat.jpg

PMRAM