|
Kaherah, 7 Disember - Sebanyak 500 mahasiswa Malaysia diberikan bantuan melalui Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan PMRAM 2009. Sumbangan ini disalurkan melalui setiap BKAN yang ada termasuk juga Sarawak. Ia juga merupakan kesinambungan daripada sumbangan yang telah diberikan pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Apa yang menarik ialah, setiap bungkusan yang diberikan itu disertakan dengan beg plastik khas yang dikeluarkan PMRAM dan ia merupakan beg plastik rasmi PMRAM. Ia merupakan tanda sumbangan dari pihak PMRAM kepada mahasiswa Malaysia. Setiap bungkusan tersebut mengandungi 3 kilogram beras, sebungkus gula 1 kilogram dan sebotol minyak masak dan ia diberikan kepada mahasiswa.
"Sumbangan tersebut merupakan inisiatif daripada warga Mesir yang berbesar hati dalam membantu mahasiswa Asia khususnya. Pihak mereka memberikan amanah kepada PMRAM selaku persatuan induk bagi mahasiswa Malaysia di Kaherah untuk diagihkan kepada ahli-ahli PMRAM dan kepada warga Malaysia amnya," ulas Saudara Zuhaili, Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan PMRAM 2009.
Proses pengagihan dimulakan dengan memasukkan dan membungkus bahan-bahan mentah tersebut bermula pada hari Sabtu, bersamaan dengan 5 Disember yang berpusat di Rumah Perlis, Hayyu Sabiek. Pihak PMRAM menginginkan agenda kebajikan kepada ahlinya terus diberi perhatian dari segenap sudut, dan ini merupakan agenda besar PMRAM di mana PMRAM sentiasa mengambil perhatian terhadap tahap kebajikan ahlinya. PMRAM akan sentiasa memantau dan mengambil berat terhadap hal kebajikan ahli dari semasa ke semasa tanpa mengira musim.
|